Makan Secara Perlahan Boleh Kuruskan Badan

panduan-kuruskan-badan-3

Makan Secara Perlahan Boleh Kuruskan Badan

Boleh dikatakan ramai orang sekarang tidak gembira dengan bentuk badan masing-masing dan sentiasa mencari cara untuk kuruskan badan. Ramai yang memilih untuk berdiet atau bersenam untuk mendapatkan bentuk badan idaman. Walaupun tidak dinafikan yang diet sihat dan senaman konsisten mampu menurunkan berat badan dan baik untuk kesihatan, tetapi ada satu tips kuruskan badan yang ramai tidak tahu; makan atau kunyah secara perlahan. Bahkan, ramai jurulatih kesihatan dan penasihat nutrisi menggalakkan pelanggan mereka untuk makan secara perlahan sebagai satu cara efektif mengurangkan berat badan.


Namun begitu, dengan keadaan zaman sekarang yang mana kebanyakan orang sibuk dan sentiasa mengejar masa, kita tidak mempunyai ruang untuk memperuntukkan masa yang panjang untuk menikmati hidangan. Tambahan lagi, kita banyak diganggu dengan teknologi terkini, seperti televisyen, telefon dan tablet, menyebabkan kadang-kadang kita mengambil makanan secara berlebihan tanpa disedari.

Dalam artikel kali ini, kita akan membincangkan tentang mengapa kita perlu makan secara perlahan-lahan, dan bagaimana cara-cara yang berkesan supaya kita dapat memperuntukkan lebih banyak masa untuk menikmati sesuatu hidangan.

Kenapa Kena Makan Secara Perlahan?


Makan secara perlahan dan mengunyah lebih lama telah dibuktikan secara saintifik membantu untuk mengatasi masalah makan berlebihan, mengempiskan perut buncit dan menjaga kesihatan secara keseluruhan. Dengan makan secara perlahan, kita akan merasa cepat kenyang dengan makanan yang sedikit dan membantu untuk menikmati makanan dengan lebih baik. Berikut merupakan beberapa kebaikan makan secara perlahan:

1. Makan secara perlahan membantu mengurangkan jumlah pengambilan makanan

Dalam isu Januari 2014 Journal of the Academy of Nutrition and Diabetics, pengkaji telah mendapati bahawa samaada orang normal atau obes, mereka mengambil jumlah kalori yang kurang apabila makan secara perlahan. Pengkaji mendapati kumpulan normal mengambil jumlah kalori kurang 88 kalori, manakala kumpulan obes kurang 58 kalori berbanding jika mereka makan secara tergesa-gesa.

Dalam satu kajian lain yang dilakukan di Univesity of Rhode Island, pengkaji mendapati bahawa subjek kajian, yang terdiri daripada 30 wanita normal, mengambil kurang 67 kalori apabila mereka makan sepinggan pasta secara perlahan (dalam masa 29 minit) berbanding secara tergesa-gesa (9 minit).


2. Makan secara perlahan merangsang rasa kenyang lebih lama

Dalam kajian sama yang dilakukan di University of Rhode Island, kumpulan wanita yang makan secara perlahan bukan sahaja mengambil jumlah kalori yang kurang, bahkan mereka berasa lebih kenyang dan berpuas hati dengan jumlah makanan yang diambil. Dalam kajian lain yang telah dilakukan pada tahun 2003 mendapati bahawa mengunyah lebih lama dan makan secara perlahan mengurangkan pengambilan makanan ringan pada selang masa makan utama.

3. Makan secara perlahan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan

Makan secara tergesa-gesa menyebabkan seseorang itu lambat untuk berasa kenyang, yang mana kebiasaannya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Badan kita secara semulajadinya mengawal rasa kenyang melalui interaksi antara pelbagai hormon antara perut dan otak. Namun begitu, sedikit masa diperlukan untuk badan kita menghasilkan hormon yang memberitahu badan kita bahawa jumlah makanan yang diambil adalah mencukupi. Jika kita makan secara perlahan, badan kita sempat menghasilkan hormon ini yang mana merangsang rasa kenyang dan memberitahu badan kita bahawa makanan yang diambil adalah mencukupi. Ini akan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan secara tidak sengaja.


4. Makan secara perlahan adalah bagus untuk sistem pencernaan

Pencernaan makanan bermula dari dalam mulut lagi. Dengan mengunyah lebih lama, makanan akan dihancurkan dengan lebih sempurna dan ini sememangnya baik untuk pencernaan. Makanan yang tidak dikunyah dan dicerna dengan baik boleh menyebabkan masalah ketidakcernaan dan masalah-masalah yang lain. Lagipun, nutrien daripada makanan terbuang begitu sahaja akibat tidak dicerna dan diserap dengan baik.

5. Makan secara perlahan merangsang hidrasi yang lebih baik

Salah satu kesan sampingan yang baik daripada makan secara perlahan adalah ini akan meningkatkan pengambilan air yang bagus untuk hidrasi badan. Dalam kajian yang sama di University of Rhode Island, didapati bahawa jika subjek makan secara perlahan, mereka akan minum lebih kurang 14 auns air, berbanding hanya 9.7 auns jika makan secara tergesa-gesa. Minum lebih banyak air membantu menyeimbangkan cecair dalam badan, merangsang otot-otot, membantu fungsi buah pinggang, mengelakkan sembelit dan menyerlahkan penampilan kulit. Tambahan lagi, minum lebih banyak air mengurangkan pengambilan makanan dan merangsang rasa kenyang lebih lama.
  

6. Kebaikan-kebaikan lain

Mengunyah dengan lebih lama dapat menguatkan gigi dan mencegah pembentukan plak yang boleh menyebabkan kerosakan gigi. Di samping itu, mengunyah menghalang kuman-kuman dari memasuki lebih jauh ke dalam sistem pencernaan. Ini sekaligus dapat mengelak dari masalah-masalah pencernaan seperti angin, perut kembung, sembelit, cirit-birit dan senak perut.

panduan-kuruskan-badan-4

Tips dan Cara Makan Secara Perlahan


Jujur, saya juga merupakan salah seorang yang sering makan secara tergesa-gesa. Pernah cuba untuk makan secara perlahan-lahan, namun masih belum berjaya. Memang agak sukar untuk mengubah tabiat lama. Mari kita lihat beberapa tips dan cara untuk membentuk tabiat baru makan secara perlahan dan mengunyah dengan lebih lama.

1. Tetapkan masa

Cuba untuk tetapkan masa yang agak panjang untuk menikmati hidangan. COntohnya, tetapkan 15 minit. Disiplinkan diri untuk sentiasa menghabiskan sesuatu hidangan; sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, dalam tempoh masa yang ditetapkan. Permulaannya mungkin agak susah, namun lama-kelamaan boleh menjadi tabiat yang baik.


2. Tukar cara makan

Jika biasa makan menggunakan tangan, cuba makan menggunakan suda dan garpu. Jika biasa menggunakan sudu dan garpu, cuba makan menggunakan tangan. Jika telah biasa dengan kedua-duanya, cuba gunakan alatan lain seperti chopstik. Menggunakan chopstik bukan sahaja memperlahankan tempo makan kita, tapi boleh membantu mengatasai masalah makan secara berlebihan.

3. Makan dengan mereka yang makan secara tertib

Mungkin kita mempunyai ahli keluarga atau rakan yang memang dikenali sebagai seseorang yang makan secara tertib dan perlahan. Digalakkan untuk makan bersama-sama mereka dan cuba mengikut tempo mereka.


4. Minum air sebelum makan

Minum air terlebih dahulu sebelum makan supaya berasa sedikit kenyang. Dengan cara ini, kita boleh mengurangkan tempo makan.

5. Tetapkan bilangan kunyahan

Setiap kali mengunyah, cuba kira dan tetapkan bilangan yang spesifik. Kajian menyarankan supaya 40 kunyahan dilakukan terhadap makanan yang masuk ke dalam mulut sebelum ditelan. Namun, jika 40 kunyahan dirasakan terlalu banyak atau lama, cuba kurangkan kepada 20 atau 30 kunyahan.

panduan-kuruskan-badan-5

Kesimpulan


Mengubah tabiat atau cara pemakanan kita mungkin merupakan perkara yang sukar dan mengambil masa yang lama. Namun, jika konsisten dan diamalkan selalu, kita akan dapat mengubah tabiat kepada makan secara perlahan-lahan. Dan dengan mencapai perkara ini, bukan sahaja dapat membantu untuk kuruskan badan, bahkan adalah baik untuk menjaga kesihatan secara keseluruhannya.


TAGS


  •  tips kuruskan badan
  • cara nak kuruskan badan bagi remaja
  • cara kuruskan badan dengan cepat
  • kuruskan badan cara tradisional
  • cara kuruskan badan dalam seminggu
  • senaman untuk kuruskan badan di rumah
  • formula untuk kuruskan badan
  • cara untuk kurus dalam masa 3 hari
  • cara menurunkan berat badan 20 kg dalam seminggu

No comments:

Post a Comment